KUALA LUMPUR 17 Jun - Kelantan Golden Trade Sdn.
Bhd. (KGT) iaitu sebuah syarikat pengeluar mata wang dinar dan dirham
milik penuh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) didakwa berhadapan
dengan kemelut salah laku terutamanya melibatkan salah seorang pegawai
kanan syarikat tersebut.
Berdasarkan satu laporan polis yang dibuat oleh seorang pelabur
Jepun, Takao Kono pada 28 Mei lalu, beliau mendakwa menjadi mangsa
penipuan pegawai kanan berkenaan yang dianggarkan melibatkan wang
berjumlah AS$1 juta (RM3.19 juta).
GAMBAR HIASAN
Difahamkan pelabur Jepun itu sebelum ini dikatakan tertarik dengan
perniagaan program syiling dinar dan dirham yang diperkenalkan oleh
lelaki itu membabitkan KGT.
Malah, pegawai terbabit dikatakan menggunakan nama dua sultan di
negara ini dan juga Kesultanan Sulu, selain nama kerajaan Zimbabwe bagi
mempengaruhi pelabur Jepun tersebut.
Pelabur Jepun itu dikatakan telah menyediakan wang berjumlah AS$1
juta (RM3.19 juta) dalam masa satu bulan dan kemudian membeli emas serta
perak untuk program perniagaan dinar dan dirham.
Bagaimanapun, Kono kemudian ingin menarik diri daripada perniagaan
tersebut selepas hilang keyakinan terhadap pegawai kanan itu, namun emas
dan perak yang dibelinya dikatakan telah dihantar ke Kazakhstan.
Bukan itu sahaja, terdapat satu lagi laporan polis yang telah dibuat
oleh seorang individu warga Perancis bernama Mohamed Esfih pada 1 Jun
lalu terhadap pegawai yang sama ekoran aktiviti keagamaan yang begitu
meragukan dilakukan oleh lelaki itu di sebuah kondominium hampir setiap
pagi Ahad.
Menurut Mohamed, sepanjang beliau menyertai kumpulan itu kira-kira
dua bulan lalu, didapati lelaki yang digelar sebagai "Sheikh" tersebut
mendakwa dirinya dianugerahkan kuasa yang luar biasa.
Sementara itu, bekas Pengarah Eksekutif KGT, Nik Mahani Mohamad juga
telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)
Kuala Lumpur pada 31 Januari lalu berhubung salah laku dikatakan telah
dibuat oleh pegawai kanan tersebut ketika memegang satu jawatan penting
KGT.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Azidi Syed Abdul Aziz dalam blognya, http://kickdefella.net
meminta rakyat Kelantan bertanya kepada Pengerusi Jawatankuasa
Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa
untuk memberi penjelasan berhubung kemelut yang sedang menyelubungi KGT.
Katanya, rakyat Kelantan perlu memastikan bahawa Husam tidak
melepaskan tanggungjawab terhadap apa yang telah dan masih berlaku
seperti mana beliau mengelak di dalam isu Jihad Ternak Sdn. Bhd.
"Rakyat Kelantan perlu tahu segala-galanya dan Husam digesa bersikap
telus di dalam soal ini. Sebagai permulaan, Husam diharap dapat
menjelaskan beberapa persoalan demi mencari keredaan Allah SWT dan
berjuang membersihkan diri dan ummah daripada rejim kewangan yang sedia
ada kerana kita tidak boleh membiarkan pihak-pihak tertentu 'menjual'
mata wang syariah ini untuk matlamat dan agenda peribadi atau politik
masing-masing," katanya dalam blog itu.
Syed Azidi yang pernah berkhidmat di PMBK sebagai Pegawai Perhubungan
Awam meminta Husam menjelaskan hubungan sebenar beliau dengan pegawai
kanan terlibat sedangkan beliau sedar terdapat tiga laporan polis dibuat
terhadap lelaki berkenaan selain mendedahkan siapa yang membuat
keputusan melantik pegawai tersebut memegang satu jawatan penting di
KGT.
Husam juga diminta menjawab persoalan sekiranya ada perjanjian
kewangan di antara KGT dan pegawai kanan itu atau perjanjian tidak rasmi
dari aspek kewangan di antara Husam sendiri dengan pegawai tersebut.
"Mengapa setelah dilucutkan daripada jawatan penting itu, lelaki yang
sama dilantik pula memegang satu lagi jawatan penting syarikat
tersebut, berapa pula jumlah wang yang sudah dikeluarkan daripada KGT di
atas arahan atau permintaan pegawai kanan itu?
"Husam juga harus menjelaskan mengapa kebenaran kelulusan cek
daripada RM50,000 dikurangkan kepada RM10,000 sewaktu pegawai terbabit
dan seorang lagi bekas pegawai kanan berkhidmat di situ seolah-olah
pegawai kanan itu menerima habuan lain berbentuk komisen dalam aktiviti
dinar emas Kelantan selain daripada imbuhan berbentuk gaji, elaun dan
tuntutan perbelanjaan yang dibayar oleh KGT?" soal beliau.
Syed Azidi yang pernah menjadi 'orang kanan' Husam juga mahu beliau
sedar nama beberapa raja-raja Melayu telah diguna dan dikaitkan oleh
sindiket tertentu di dalam aktiviti dinar emas untuk mendapat sumber
kewangan daripada penderma-penderma dalam dan luar negara.
No comments:
Post a Comment