Friday 12 August 2011

PAS Berpecah!! Pemimpin Pas ‘Anwarinas’ Serang Nasrudin!



Selepas Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali menjadi mangsa kecaman pemimpin Pas ekoran sokongannya terhadap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memeriksa gereja Methodist di Damansara Utama baru-baru ini, nasib yang sama dipercayai menimpa Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan.

Nasrudin dipercayai menerima kecaman serta tekanan hebat daripada pemimpin Pas terutamanya golongan ‘Anwarinas’ iaitu kumpulan yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tindakan itu dilakukan selepas Nasrudin mengeluarkan kenyataan keras kelmarin, bahawa Dewan Pemuda Pas Pusat akan tetap mempertahankan akidah umat Islam daripada dirosakkan, sekalipun dengan darah dan nyawa.

Ia diperkukuhkan lagi dengan status terkini Ketua Dewan Pemuda Pas itu di laman Facebooknya yang membayangkan beliau sedang ‘diserang’ apabila berkata: “Tidak mudah untuk kita memperjuangkan Islam. Kadang-kadang cabaran dalaman lebih perit dialami berbanding cabaran luaran. Ya Allah, Engkau berilah aku kekuatan,”.

Kelmarin, Nasrudin melalui laman blognya, http://www.eperjuangan.com , dilihat memberi ‘kejutan’ bermakna kepada pucuk pimpinan Pas yang sebelum ini takut untuk bersuara, apabila menyeru umat Islam bersatu di bawah payung akidah bagi memastikan tiada ruang yang membolehkan musuh Islam menyelinap masuk.

Lebih menambahkan kemarahan kumpulan ‘Anwarinas’ apabila beliau berkata: “Harga akidah tidak boleh dibayar dengan nilai sebuah atau lebih kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN), tidak boleh ditebus dengan jawatan bertaraf menteri atau wakil rakyat, sebaliknya nilai akidah, taruhannya ialah darah dan nyawa,”.

Dalam pada itu, tidak cukup dengan status tersebut, Nasrudin juga dilihat cuba meluahkan tekanan yang sedang dilalui akibat mengambil pendirian berbeza berbanding pucuk pimpinan Pas, melalui satu lagi status terdahulu yang penuh dengan maksud tersirat.

“Aku cuba berlari di kaki pelangi, mengukur jarak berbanding masa. Aku cuba gapai warna-warni, akhirnya akur ditipu fatamorgana. Begitulah realiti sisa umur di alam ini. Moga nur hidayah Ilahi dapat aku gapai, menyuluh lorong gelap dan kelam menuju mahligai berseri bidadari, satu destinasi yang tidak dijangkau pelangi,” katanya.

Sementara itu, cubaan Utusan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan Nasrudin sendiri berhubung dakwaan beliau sedang ditekan dan dikecam oleh pucuk pimpinan Pas, termasuk apa maksud sebenar di sebalik status Facebook gagal kerana telefon bimbitnya dimatikan.

No comments:

Post a Comment